NASIONAL

PEMILU 2019: Indonesia buat pilihan saat akhir

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 MAC: Rakyat Indonesia cenderung membuat keputusan memilih calon Presiden di saat akhir, pada Pemilihan Umum (PEMILU) republik itu kali ini.

Mengikut kajian Lembaga Survei Kelompok Diskusi dan Kajian Opini Publik Indonesia (Kedai Kopi), sebanyak 35 peratus pemilih akan membuat keputusan bermula tempoh bertenang hingga saat akhir di bilik pengundian.

“Seperti pilihan raya Presiden Amerika sebelum ini, kajian mendapati Hillary Clinton menang tetapi apa yang berlaku, Donald Trump pula yang menang.

“Sama juga apabila kajian mendapati Joko Widodo (Jokowi) di hadapan 15 hingga 20 peratus tetapi kubu Jokowi tidak berani mengakui mereka sudah menang. Mereka terus berusaha keras meningkatkan sokongan pemilih,” kata pengasasnya, Hendri Satrio.

Beliau berkata demikian pada Siri Forum Demokarasi: Siapa Pilihan Rakyat Indonesia?: Analisis PEMILU Indonesia 2019 di Institut Darul Ehsan di sini, hari ini.

Katanya, kajian mendapati sebanyak 18.7 peratus akan membuat keputusan pada tempoh bertenang, 15.6 peratus pada hari PEMILU dilangsungkan dan 8.7 peratus di bilik mengundi.

Katanya, sebanyak 43 peratus belum membuat pilihan bagi peringkat parlimen.

PEMILU Indonesia 2019 kali ini menyaksikan lebih banyak isu menjadi perhatian pemilih antaranya peribumi, nasional dan tolenrasi.


Pengarang :