NASIONAL

Pemohon kerja India, bertudung paling teruk didiskriminasi

SHAH ALAM, 7 MAC: Graduan berbangsa India dan wanita berhijab antara pemohon kerja kali pertama yang sukar mendapat peluang temu duga di sektor swasta.

Dapatan itu berdasarkan kajian firma bebas, Pusat Kajian Politik dan Pentadbiran (Cent-GPS) bertajuk ‘Rasisme dalam Pengambilan Pekerjaan: Kajian Berat Sebelah Berasaskan Kaum Untuk Kerjaya Permulaan Di Malaysia’.

Ketua Penyelidiknya, Zaidel Baharuddin menjelaskan kajian itu berdasarkan teknik ‘lakonan’ tujuh individu lain mewakili jantina dan kumpulan kaum berbeza dalam resume mereka.

“Wanita tidak bertudung menerima 12.7 peratus atau 70 panggilan temu duga, manakala wanita berhijab hanya menerima 9.14 peratus atau 50 panggilan temu duga.

“Kedua-dua graduan ini mempunyai kelayakan sama, hanya dibezakan melalui gambar, iaitu berhijab dan tidak berhijab.

 “Jadi, adakah diskriminasi etnik wujud? Ya, namun bukan sahaja bagi kaum Melayu tetapi kumpulan etnik India paling ditindas,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Sementara itu, BH Online melaporkan kebolehan berbahasa Mandarin yang dijadikan ‘syarat’ pengambilan kerja bagi majikan tertentu, didapati hanyalah helah untuk menggajikan pekerja etnik Cina.

Zaidel berkata, semua graduan dalam resume itu memiliki kelayakan setaraf daripada institusi pengajian tinggi swasta terkemuka, fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin serta pernah menjalani latihan praktikal selama tiga bulan.

“Sebanyak 10 peratus pekerjaan dimohon menyatakan keperluan berbahasa Mandarin dan semua tujuh graduan berkebolehan bertutur bahasa itu, namun hasil kajian mendapati diskriminasi tetap berlaku apabila graduan wanita dan lelaki kaum Cina mendahului graduan lain dengan jurang membimbangkan.

“Graduan wanita Cina menerima 55 peratus kadar panggilan temu duga, manakala calon lelaki kaum India hanya mendapat sembilan peratus panggilan temu duga walaupun resume jelas menyatakan mereka semua menguasai bahasa Mandarin,” katanya.

Kajian itu hasil 3,289 resume dihantar bermula Disember 2018 hingga Februari 2019 dengan Cent-GPS menghantar tujuh resume bergambar mewakili jantina dan kaum berbeza, kepada 547 tawaran peluang pekerjaan.

Beberapa ringkasan kajian itu ialah:

– Graduan wanita Cina menerima 240 atau 44 peratus panggilan temu duga, manakala graduan lelaki kaum Cina mendapat 179 atau 33 peratus panggilan temu duga

– Graduan yang menerima kadar panggilan terendah ialah lelaki Melayu (43 atau lapan peratus panggilan temu duga) dan India (20 atau empat peratus panggilan temu duga)

– Graduan wanita Cina hanya perlu memohon dua pekerjaan untuk mendapatkan satu panggilan temu duga, manakala wanita Melayu berhijab perlu memohon 13 pekerjaan bagi satu panggilan temu duga. Graduan lelaki kaum India perlu memohon 28 pekerjaan untuk satu panggilan temu duga

Bukti itu diperoleh berdasarkan pengalaman kakitangan Cent-GPS yang berlakon sebagai seorang individu berbangsa Tionghua bernama ‘Nicola Yeoh’.

Resume ‘Nicola Yeoh’ sangat laku sehingga dia dipanggil menghadiri temu duga sebanyak 240 kali, manakala individu lelaki Cina bernama ‘Gabriel Liew’ pula dipanggil 179 kali temu duga daripada 547 permohonan yang dihantar.

Bagi pemohon India bernama ‘Thivakar’, dia perlu memohon sebanyak 28 kali untuk mendapat satu panggilan temu duga, manakala ‘Nicola’ hanya perlu memohon dua kali untuk mendapat satu temu duga.

 


Pengarang :