GLOBALNASIONAL

Pemukiman pemimpin Singapura-Malaysia bulan depan

SINGAPURA, 28 MAC: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, akan bertemu rakan sejawatannya dari Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, pada minggu pertama April bagi Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-9.

Dalam laporannya, The Straits Times yang memetik Kementerian Luar Singapura, antara lain menyatakan Malaysia mencadangkan supaya pemukiman diadakan pada 8 dan 9 April yang dipersetujui republik itu.

Pemukiman terbaharu itu sepatutnya diadakan pada November tahun lalu, namun ditangguhkan.

Dr Mahathir berada di sini pada November lalu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 dan mesyuarat berkaitan yang dipengerusikan Singapura, berlangsung selama lima hari bermula 11 November ini.

Pemukiman edisi kelapan diadakan di negara ini, pada Januari 2018.

Pertemuan tahunan itu yang diadakan secara bergilir di antara kedua-dua negara adalah mekanisme penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta mencari penyelesaian isu bilateral.

Malaysia dan Singapura kini dalam proses menyelesaikan isu antaranya berkaitan ruang udara dan persempadanan maritim. -BERNAMA


Pengarang :