NASIONAL

Penantian tujuh tahun Roisah berakhir

OLEH SHEEDA FATHIL

PUTRAJAYA, 28 MAC: Penantian selama tujuh tahun seorang pelajar untuk mendapatkan kewarganegaraan berakhir apabila permohonannya diluluskan.

Roisah Abdullah, 22, berasa amat teruja apabila permohonan kedua untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan itu berjaya diperolehnya.

Dia turut berterima kasih kepada pihak yang sudi membantu terutama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, yang juga ibu angkatnya.

“Terima kasih diucapkan kepada YB (Yang Berhormat) Zuraida yang banyak membantu bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan, selain penjaga, guru dan beberapa pihak yang turut berusaha menyelesaikan kes ini.

“Malah, ini adalah hadiah hari lahir yang amat bermakna buat diri saya pada tahun ini apabila sah menjadi warganegara Malaysia,” katanya yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran, pada 25 April ini.

Terdahulu, Roisah menerima surat kelulusan kewarganegaraan daripada Zuraida di Kementerian Dalam Negeri, di sini, hari ini.

Roisah turut bercadang untuk memohon lesen kenderaan dan membuka akaun bank bagi memudahkan urusannya, pada masa akan datang.

Sementara itu, Zuraida berkata, permohonan kali kedua itu dibuat pada Mei 2018 dan berjaya diluluskan pada Oktober tahun lalu. Namun, tambahnya, berita baik hanya dapat dimaklumkan pada hari ini.

“Usaha hampir setahun ini, akhirnya Roisah kini dapat menjalani kehidupan sebagai warganegara Malaysia yang sah dan semoga impiannya untuk memasuki universiti awam dapat diteruskan,” katanya.

Terdahulu, memetik laporan media tempatan, Roisah dilahirkan di sebuah klinik di Klang. Ibunya seorang warga asing, manakala identiti bapanya tidak diketahui.

Dia kemudian diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Melayu dan pernah beberapa kali memohon kewarganegaraan.

Kali terakhir permohonan dibuat pada Mac 2013, namun menerima jawapan menerusi surat bertarikh 16 Januari 2018 yang menyatakan permohonannya ditolak.


Pengarang :