NASIONAL

Pencemaran kimia: Pelajar, guru trauma akan diberi kaunseling

JOHOR BAHRU, 31 MAC: Pelajar, guru dan kakitangan sekolah di sekitar Pasir Gudang yang masih trauma dengan kejadian pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, awal bulan ini, akan diberikan khidmat kaunseling.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, khidmat kaunseling oleh guru bimbingan dan kaunseling sekolah dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Unit Psikiatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) itu akan dilaksanakan mulai esok.

“Penyediaan kaunseling di peringkat pasca bencana ini adalah untuk membantu mereka yang trauma dengan apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Ketua Masyarakat Pakatan Harapan Simpang Renggam, di sini hari ini.

Terdahulu, Maszlee yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam turut membuat tinjauan pasca bencana pencemaran sisa kimia berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 1, Pasir Gudang.

Beliau berkata tiada tempoh masa tertentu ditetapkan untuk kaunseling berkenaan, namun, buat permulaan, ia dilakukan dalam dua hingga tiga minggu ini mengikut tahap trauma pelajar, guru atau kakitangan terlibat.

Katanya, selain kaunseling, pihaknya menerusi pengetua dan guru besar sekolah di sekitar Pasir Gudang juga akan membantu para pelajar terlibat dalam insiden berkenaan bagi membuat tuntutan takaful.

“Setakat ini, seramai 398 orang pelajar sudah menghantar borang tuntutan takaful kepada wakil takaful pagi ini. Kita sudah melakukan perbincangan dengan pihak takaful ini, semalam,” katanya dengan menambah berdasarkan tinjauan beliau ke SMK Pasir Gudang 1, hari ini, pelajar, guru dan kakitangan sekolah dilihat bersemangat untuk memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Azman Adnan berkata proses persekolahan hari ini di 111 buah sekolah berjalan lancar.

“Semua murid dan guru hadir ke sekolah dan proses pembelajaran berjalan dengan baik,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Sepanjang tempoh insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, 2,510 pelajar terlibat dengan 400 daripadanya dimasukkan ke dalam wad.

Bagaimanapun, kesemua mereka telah disahkan sihat. -BERNAMA


Pengarang :