NASIONAL

Pencemaran Kimia: Sembilan lelaki direman

JOHOR BAHRU, 19 MAC: Polis menahan sembilan lelaki yang direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, dua daripada mereka ditahan di negeri ini manakala baki tujuh lagi di luar Johor dengan kesemua tangkapan dibuat kelmarin.

Mahkamah membenarkan permohonan polis untuk menahan reman mereka bermula hari ini selama enam hari,” katanya kepada pemberita, semalam.

Menurutnya kes disiasat menurut Seksyen 278 Kanun Keseksaan kerana menjadikan udara berbahaya kepada kesihatan.

Selain itu, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun serta Seksyen 326 kanun sama kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Mohamad Fuzi sebelum itu menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Johor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini.

Insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim dikesan pada 7 Mac selepas ramai pelajar, guru dan petugas sekolah mengalami sesak nafas, muntah, loya dan sakit tekak.

Pada 13 Mac, Kementerian Pendidikan mengarahkan 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang ditutup berikutan beberapa gelombang “Simptom Kim Kim” yang berlaku di beberapa sekolah sebagai langkah berjaga-jaga.

— BERNAMA


Pengarang :