–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Pencemaran Kimia: Tiada tangkapan setakat ini – KPN

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini berhubung pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, Johor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis giat menjalankan siasatan bagi mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dengan insiden itu.

“Kita terima 51 laporan polis, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 278 Kanun Keseksaan (menjadikan udara berbahaya kepada kesihatan) dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan (kelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun),” katanya pada sidang media ketika ditanya mengenai perkembangan kes pencemaran bahan kimia itu.

Beliau berkata, kira-kira 150 anggota termasuk daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) ditempatkan bagi memantau dan mengawal kawasan pencemaran itu.

Kejadian pencemaran bahan kimia yang menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup itu dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim yang dilaporkan pada 7 Mac lalu.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata pihaknya menerima lebih 50 laporan polis berhubung himpunan Hari Wanita Sedunia pada Sabtu lepas dan sedang melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Mereka tidak mengikut prosedur yang betul, disebabkan itu kita tak keluarkan kebenaran. Bila ada laporan polis kita siasat secepat mungkin untuk serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kita siasat sebab tak bagi notis pun mereka teruskan…untuk kata kita jangan siasat sebagainya itu bukan tanggungjawab mereka…tapi tanggungjawab PDRM (Polis Diraja Malaysia) (untuk siasat),” katanya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan gesaan pihak tertentu supaya polis menghentikan siasatan itu.

BERNAMA melaporkan enam individu telah hadir untuk memberi keterangan kepada polis baru-baru ini berhubung perhimpunan itu yang dilapor turut disertai penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Dataran Merdeka di sini.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyaksikan majlis terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara Ahad ini.

– Bernama


Pengarang :