NASIONAL

Pendapatan dari Singapura tidak dikenakan cukai

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Pendapatan daripada punca penggajian di Singapura tidak tertakluk kepada cukai yang dikenakan di Malaysia, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, hal itu ekoran punca pendapatan di republik berkenaan bukan daripada punca penggajian, di Malaysia.

“Bagi individu yang menetap di Malaysia melebihi tempoh 183 hari, beliau dianggap mempunyai status pemastautin bagi maksud (tujuan) percukaian di Malaysia di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
“Bagaimanapun, jika individu itu tidak menerima apa-apa pendapatan berpunca dari Malaysia dan hanya menerima pendapatan penggajian dari Singapura, maka dia masih lagi tidak dikenakan cukai di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu bagi mengulas laporan sebuah akhbar Bahasa Cina hari ini yang “mencetuskan kekeliruan berhubung pendapatan diterima daripada sumber di Singapura dan asas penentuan status pemastautin bagi tujuan dikenakan cukai pendapatan.”

Sabin berkata, status pemastautin seseorang individu di Malaysia tidak akan menyebabkan semua pendapatan yang diterima itu secara automatik tertakluk kepada undang-undang percukaian, di Malaysia.

Selain itu, katanya, sebarang punca pendapatan dari luar negara yang dibawa masuk ke Malaysia juga dikecualikan cukai di bawah Perenggan 28, Jadual 6, ACP 1967 berkenaan.

Sebarang maklumat lanjut boleh diperolehi dengan mengunjungi pejabat LHDN berhampiran atau menghubungi talian Hasil Care Line LHDNM 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (luar negara). –BERNAMA


Pengarang :