SELANGOR

Penduduk harap isu pencemaran selesai segera

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 15 MAC: Penduduk di Taman Eng Ann berharap Kerajaan Negeri dan agensi bertanggungjawab dapat menyelesaikan segera pencemaran yang berlaku di kolam takungan banjir di Jalan Kasawari 2.

Pesara kerajaan, Mary Sebastian, 71, berkata, sepanjang lebih 50 tahun menetap di sini, ini merupakan kali pertama kejadian tersebut berlaku sehingga menyebabkan bau kurang selesa.

Menurutnya, beliau hanya mengetahui mengenai insiden itu pagi tadi apabila mendapati terdapat banyak kenderaan anggota keselamatan berada di lokasi kejadian.

“Saya agak terkejut juga kerana hanya mengetahui mengenai perkara ini pada pagi tadi. Sebelum ini kejadian sebegitu tak pernah berlaku,” katanya ketika ditemui Selangor Kini.

Sementara itu, seorang penduduk Philip Prem Kumar,31, berkata buat masa ini, bau sisa buangan tersebut masih sampai ke rumahnya yang hanya terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian

“Saya tahu mengenai kejadian ini sejak semalam tapi menjangkakan ia tidak begitu teruk. Tetapi apabila terdapat banyak kenderaan pihak berkuasa pagi tadi, barulah saya tahu kes ini agak serius,”katanya.

Beliau berkata, tindakan segera perlu diambil bagi menggelakkan insiden pencemaran bahan kimia yang berlaku di Pasir Gudang, Johor sebelum ini berulang di kawasan berkenaan.

“Buat masa ini kami belum dapat maklumat ada penduduk yang sakit, namun tindakan pencegahan segera perlu dilakukan,” katanya.


Pengarang :