SELANGOR

Penetapan sempadan, penubuhan MPKK antara syarat diiktiraf Kampung Tradisi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 MAC: Implikasi pengiktirafan antara kriteria perlu dipertimbangkan bagi melayakkan sesebuah kampung dinaik taraf sebagai kampung tradisi, kata Rodziah Ismail.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi itu berkata, implikasi pengiktirafan termasuk penetapan sempadan pentadbiran kampung dan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang sah.

Selain itu, katanya, penyaluran peruntukan khusus kepada kampung berkenaan juga perlu diambil kira.

“Melalui kajian Pelan Halatuju Strategik Desa Selangor 2035, terdapat 522 buah kampung induk, bagaimanapun pada 2017, tiga buah kampung diwartawakan sebagai kampung tradisi dan jumlah kampung itu sudah meningkat kepada 371 buah kampung yang diiktiraf Kerajaan Negeri serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Kampung ini terbahagi kepada lima jenis petempatan yang mempunyai sempadan spatial iaitu Kampung Tradisi, Kampung Tersusun, Kampung Baru, Kampung Bagan dan Kampung Orang Asal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan perbahasan usul peruntukan Pembangunan Belanjawan Selangor, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini.

Usul berkenaan dibahaskan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar berhubung cadangan menaik taraf dan mewartakan Kampung Hamid Tuah sebagai kampung tradisi yang baharu.

Bagaimanapun, Rodziah menjelaskan, Kampung Hamid Tuah yang berada di bawah mukim Damansara daerah Petaling tidak termasuk dalam senarai Kampung Induk yang dikategorikan sebagai kampung tradisi.

“Untuk diiktiraf sebagai sebuah kampung tradisi, ciri penempatan adalah wujud secara organik dan adalah kawasan penempatan diwarisi orang Melayu untuk beberapa generasi, selain mempunyai ciri-ciri perkampungan Melayu yang menonjol.

“Kampung tradisi di bandar mampu menampung bilangan penduduk yang tinggi dan majoriti terlibat dengan aktiviti perbandaran.

“Manakala, kampung tradisi di desa lazimnya berdensiti rendah dengan taburan penempatan dipengaruhi oleh aktiviti ekonomi setempat seperti pertanian dan perlombongan juga corak adalah berjajar dan berkelompok,” katanya.


Pengarang :