– Foto AFP
NASIONAL

Penganalisis: Jokowi berpeluang tewaskan Prabowo

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 MAC: Presiden Indonesia, Joko Widodo dijangka mampu mengekalkan jawatannya jika Pemilihan Umum (PEMILU) republik itu berlangsung hari ini, kata penganalisis.

Pengarah Eksekutif sebuah lembaga survei, Dr Kunto Adi Wibowo berkata, gandingan Joko atau Jokowi dan Ma’ruf Amin memiliki kelebihan berbanding pesaingnya, Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

“Jokowi adalah penyandang yang membuatkan beliau mempunyai akses kepada masyarakat untuk mempengaruhi memilih dirinya.

“Kedua, dia berjaya memperolehi dukungan parti politik yang besar iaitu 11 parti politik mendukung beliau, sekali gus menyebabkan lebih 600 calon legaslatif atau parlimen menyokong Jokowi berbanding Prabowo hanya didukung lima parti,” katanya dari Lembaga Survei Kelompok Diskusi dan Kajian Opini Publik Indonesia (Kedai Kopi).

Beliau berkata demikian pada Siri Forum Demokarasi: Siapa Pilihan Rakyat Indonesia?: Analisis PEMILU Indonesia 2019 di Institut Darul Ehsan di sini, hari ini.

Forum itu turut menampilkan seorang lagi lembaga survei yang juga pengasas Kedai Kopi, Hendri Satrio.

Bagaimanapun Dr Kunto berkata, pola itu boleh berubah pada bila-bila masa dalam tempoh dua minggu sebelum PEMILU dilangsungkan pada 17 April ini.

Survei itu juga mendapati rakyat Indonesia meletakkan harapan supaya ada perubahan ekonomi dan peluang pekerjaan lebih baik di Indonesia, katanya.

PEMILU Indonesia 2019 mencatatkan sejarah tersendiri apabila kali pertama Pemilihan Presiden diadakan serentak dengan Pemilihan Parlimen.


Pengarang :