SELANGOR

Penggiat seni silat harus ambil iktibar pertahan agama, bangsa, negara

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 MAC: Penggiat silat seperti Silat Cekak Pusaka Hanafi perlu memainkan peranan dan mengambil iktibar terhadap seni yang mereka pelajari untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, seni mempertahankan diri itu patut dijadikan asas dan bukan untuk menyerang tanpa sebab.

Katanya, aktiviti silat mengajar individu itu untuk mempertahankan diri dan bukannya menyerang secara membabi buta dan melakukan amukan sehingga membawa kerosakan kepada agama, bangsa dan negara.

“Silat Cekak Pusaka Hanafi asas kepada kita untuk mempertahankan diri, bukan menyerang membabi buta, bukan melakukan amukan yang membawa kerosakan tetapi ingin mempertahankan maruah, agama dan bangsa.

“Tetapi dalam konteks ini saya berharap kita bersama berdiri teguh untuk mempertahankan maruah, jati diri dan nasib bangsa di masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kejohanan Wajadiri Pusaka Hanafi Institut Pengajian Tinggi dan Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019 di Kompleks Sukan Panasonic, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Silat Cekak Pusaka Hanafi, Sheikh Dr Md Radzi Hanafi.

Pada masa sama, Amirudin optimis Silat Cekak Pusaka Hanafi dapat bersama menjayakan hasrat kerajaan membangunkan dan membina semula negara, dengan semangat menitik beratkan jati diri selain mempertahankan masyarakat berbilang kaum.

Selain itu, katanya, seni silat itu juga bertujuan mempertahankan maruah, bangsa dan agama di samping mempertahankan kesejahteraan negara.

Katanya, seni silat juga bukan diajar dengan cara menghina, merosakkan agama bangsa dan negara apatah lagi mencabar serta mengganggu gugat kestabilan yang dikecapi.

“Seperti kita tahu serangan tembakan rambang yang berlaku di New Zealand minggu lalu menyaksikan jemaah di dua masjid di Christchurch diserang sehingga mengorbankan 50 nyawa.

“Saya faham perkara itu disambut dengan kemarahan tetapi ia bukan disalurkan kepada mereka yang tidak bersalah atau agama dan bangsa lain.

“Sebaliknya kita harus menunjukkan keperibadian bagaimana Rasullah SAW ketika dihina, dicerca, diludah, baginda tetap menunjukkan keperibadian yang baik, halus dan tulus,” katanya.


Pengarang :