PBTSELANGOR

Penggunaan bas mini Smart Selangor sedang dikaji

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERI KEMBANGAN, 11 MAC: Kerajaan Negeri sedang mengkaji penggunaan bas mini bagi perkhidmatan Bas Smart Selangor, di kawasan Sepang.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, kajian itu dilakukan bagi mengurangkan kos selenggaraan bas Smart Selangor bagi lokasi terbabit.

“Saya tidak nafikan, permintaan daripada penduduk untuk menggunakan bas itu masih ada, namun melalui langkah penjimatan ini kemungkinan Kerajaan Negeri boleh menambah laluan baharu, di situ.

“Untuk pengetahuan, buat masa ini, kajian untuk menggunakan bas mini hanya dilakukan bagi kawasan Sepang sahaja terlebih dahulu,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan perkhidmatan bas Smart Selangor Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi laluan baru SJ05, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohammad Zulkurnain Che Ali dan Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Mengulas lanjut berhubung pelancaran terbabit, Sze Han berkata, setakat ini Kerajaan Negeri tidak dapat menambah bas dan juga laluan baharu bagi kawasan MPSJ.

“Peruntukan Kerajaan Negeri bagi Bas Smart Selangor ialah RM30 juta setahun, namun kami amat berbesar hati jika MPSJ dapat menggunakan peruntukan sendiri untuk mewujudkan laluan baharu sekiranya mendapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat,” katanya.


Pengarang :