NASIONAL

Pengunjung bertuah berpeluang lawat KD Tunku Abdul Rahman

LANGKAWI, 26 MAC: Pengunjung segmen maritim Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di Resorts World Langkawi (RWL) berpeluang merasai pengalaman melawat dan menaiki kapal selam KD Tunku Abdul Rahman.

Asisten Ketua Staf (AKS) Perancangan Pembangunan Markas Tentera Laut merangkap Timbalan Pengerusi Segmen Maritim LIMA’19, Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin Abu Bakar berkata, tiga pengunjung bertuah akan dipilih setiap hari untuk merasai pengalaman tersebut.

“Pengunjung perlu muat turun aplikasi RMN App di Google Store atau App Store. Mereka juga boleh mengimbas QR Code yang terdapat pada risalah yang diagihkan di sekitar tapak pameran segmen maritim.

“Syarat pertandingan ialah pengunjung perlu berswafoto di sekitar segmen maritim, muat naik ke akaun Facebook mereka dan tag Facebook Rasmi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Swafoto yang unik akan dipilih sebagai pemenang, mereka yang terpilih akan dimaklumkan menerusi laman sosial tersebut,” katanya, lapor BERNAMA.

Ahmad Shafirudin berkata, selain peluang masuk ke dalam kapal selam, pengunjung bertuah turut berpeluang bersiar-siar di kawasan kapal-kapal perang bersauh serta jemputan khas ke Festival Makanan dan Kebudayaan Armada.

“Kita akan pilih pengunjung bertuah yang berbeza bagi setiap pertandingan, sebagai contoh tiga orang pengunjung bertuah merasai pengalaman masuk ke dalam kapal selam. Pengunjung bertuah lain berpeluang menerima jemputan khas ke Festival Makanan dan Kebudayaan Armada yang mana kapal-kapal dari negara terlibat segmen maritim akan masak makanan tradisional negara mereka serta membuat persembahan kebudayaan negara masing-masing,” katanya.

Segmen maritim LIMA’19 dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pameran statik dan demonstrasi bot maritim mula dibuka kepada orang ramai secara percuma mulai hari ini hingga Sabtu.


Pengarang :