NASIONAL

Pengurangan penjawat awam masih dikaji, tumpu kepada produktiviti

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Kerajaan sedang menyediakan pelan holistik bagi memastikan urusan pentadbiran negara tidak terjejas sekiranya cadangan pengurangan penjawat awam dilakukan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketika beliau meletakkan jawatan pada 2003, jumlah penjawat awam ketika itu sekitar satu juta orang berbanding kini 1.7 juta orang.

Katanya, kerajaan sebelum ini pernah memperkenalkan dasar penswastaan terhadap Telekom pada 1983 yang dilihat berkesan dalam meringankan bebanan kewangan negara ketika itu.

“Kita sedang meneliti untuk menentukan apabila mereka kehilangan jawatan dalam kerajaan, adakah mereka akan mendapat berpindah ke jawatan lain di peringkat swasta.

“Kita ada pilihan untuk menyediakan atau memindahkan pegawai ke pihak swasta. Kita boleh swastakan beberapa bahagian dalam kerajaan seperti kita lakukan kepada Telekom dahulu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Katanya, sekiranya perkara itu tidak dikawal, ia akan mengecilkan perbelanjaan pembangunan negara ekoran jumlah besar yang terpaksa diperuntukkan semata-mata membayar gaji penjawat awam.

Dr Mahathir berkata, tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha meningkatkan produktiviti kerana sebelum ini wujudnya beberapa jawatan dirasakan tidak sepatutnya sedangkan ia boleh dilakukan seorang penjawat awam sahaja.

Dalam sidang media sama, beliau turut menyatakan peningkatan gaji penjawat awam juga turut menjadi antara faktor mendorong kepada peningkatan kos sara hidup serta ‘membeli’ kesetiaan penjawat awam seperti dilakukan kerajaan terdahulu.

Beliau sebelum itu turut menjawab soalan berkaitan pengurangan penjawat awam dikemukakan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamad Said dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.


Pengarang :