SELANGOR

Penjajaran IPR dijangka bermula Mei

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 17 MAC: Penjajaran semula beberapa program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dijangka akan dilaksanakan, seawal Mei ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri akan mengadakan ‘retreat’ pada hujung bulan ini, bagi membincangkan pelan dan dapatan kajian sebelum dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, program pemberian air percuma dijangka mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan.

“Ketika ini, Unit Perancangan Ekonomi Negeri sedang menyelaraskan semua program, pastinya ia termasuk program air percuma. Kita sedang melihat keseluruhannya, janji saya ia tidak akan membebankan rakyat.

“Kita akan cuba selaras bergantung pada kedudukan kewangan dan sebagainya untuk disesuaikan dengan peruntukan,” katanya kepada SelangorKini selepas menghadiri program santai Dato’ Menteri Besar bersama penduduk dan penyerahan IPR di Dewan MPKK, Kampung Melayu Batu Caves, di sini, semalam.

Pada masa sama, Amirudin berkata, pelaksanaan program berkenaan akan dijalankan secara berfasa supaya impaknya lebih berkesan.

“Perkara paling penting adalah ‘database’, kerana kita tidak mempunyai database E-kasih yang menetapkan taraf pendapatan tertentu.

“Sedangkan di Selangor, rakyatnya memerlukan pendapatan paling kurang RM2,000 sebulan, oleh itu perkiraan itu kita sedang cuba selaraskan,” katanya.

Mengulas berkenaan kenaikan tarif air, Amirudin berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan suasana kurang baik.

“Biar kita laksanakan kajian dahulu, sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya.

 


Pengarang :