NASIONAL

Peranan suri rumah wajar diiktiraf

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 MAC: Suri Rumah Rahmah (SRR) sedia menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak dalam membangunkan suri rumah di Malaysia.

Pengerusinya, Nurul Huda Ahmad Nawawi berkata, tiba masanya suri rumah perlu diberi pengiktirafan sewajarnya atas sumbangan mereka.

Katanya, 60 peratus dari kalangan wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah menyatakan bahawa antara sebab utama pilihan itu dibuat adalah kerana bebanan kerja di rumah.

“Apabila seorang wanita memilih untuk menjadi suri rumah, maka segala tugasan kerja rumah seolah-olah diletakkan ke atas bahu mereka samada secara rela mahupun tidak.

“Oleh itu, perkara ini tidak seharusnya berlaku sepertimana yang disarankan dalam laporan Khazanah Research Institute (KRI) agar pemahaman kepada pembahagian tugasan rumah haruslah seimbang di antara suami dan isteri,” katanya dalam kenyataan.

Laporan KRI bertajuk ‘A Modern Malaysia Needs a More Gender Inclusive Economy’ bertarikh 18 Disember 2018 menjelaskan antara isu dan bebanan dihadapi suri rumah dalam menguruskan kehidupan keluarga.

Nurul Huda berkata, peranan utama suri rumah sebagai tunjang dan tulang belakang utama sesebuah keluarga tidak boleh dipandang sepi.

“Tugas sebenar suri rumah seharusnya dilihat dari sudut pandang yang lebih bersifat progresif di mana mereka adalah individu yang mampu menjadikan setiap inci kehidupan itu lebih baik pada masa sekarang dan juga masa akan datang.

“Sumbangan mereka datang dari kebijaksanaan mereka menguruskan hal-hal rumahtangga, penyediaan makanan sihat sehinggalah kepada yang paling utama iaitu pendidikan anak-anak,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengajak
seluruh rakyat Malaysia khususnya suri rumah agar meningkatkan kapasiti dan pembangunan diri selari dengan tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini.

“Ia sekali gus, membolehkan sumbangan dapat dilakukan secara menyeluruh kepada komuniti, masyarakat dan negara umumnya,” katanya.


Pengarang :