NASIONAL

Perarakan LGBT menghairankan haiwan – Dr Maza

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Tindakan penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang berarak secara haram di ibu kota, semalam bukan hanya bertentangan dengan syariat Islam, malah ‘menghairankan’ haiwan.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sebagai manusia biasa, mereka berhak berkumpul untuk mempertahankan hak, selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan naluri insani.

“Manusia biasanya berkumpul dan melaungkan perasaan untuk menuntut hak yang Tuhan berikan tetapi dicabuli atau mencari kebaikan demi membela fitrah insani.

“Malangnya, bagi golongan songsang mereka berhimpun dan menjerit menuntut supaya kesongsangan hidup mereka diiktiraf.

“Mereka bukan sahaja mendedahkan keaiban diri, bahkan mendedahkan betapa mereka itu ‘cacat’ mencacatkan fitrah,” tulisnya di Facebook Dr Maza.com, hari ini.

Kenyataan itu susulan perhimpunan haram berhampiran pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur sebelum berarak ke Masjid Jamek yang menuntut supaya golongan LGBT diberikan hak sama rata seperti rakyat Malaysia yang lain.

Perhimpunan itu juga menyaksikan golongan terbabit membawa bendera warna pelangi, simbol LGBT.

 


Pengarang :