NASIONAL

Percepat gubal undang-undang kesaksamaan gender & gangguan seksual

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 MAC: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa kerajaan mempercepatkan penggubalan terhadap undang-undang kesaksamaan gender dan gangguan seksual.

Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memperjuangkan hak wanita, sekali gus menangani halangan yang mampu mengugat golongan itu.

“Jawatankuasa Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) 1995, SUHAKAM dan kumpulan memperjuangkan hak wanita menggesa kerajaan mempercepatkan penggubalan undang-undang kesaksamaan gender dan hukuman bagi gangguan seksual untuk dibentangkan di Parlimen, tahun ini.

“Oleh itu, kita menggesa dua undang-undang ini diperluaskan perlindungan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan golongan rentan seperti komuniti Orang Asli, pelarian, pekerja asing dan mangsa pemerdagangan manusia,” katanya dalam kenyataan bersempena Hari Wanita Sedunia, semalam.

Pada masa sama, beliau memuji inisiatif Malaysia dalam memperjuangkan hak wanita, namun golongan itu masih didiskriminasi di negara ini.

Katanya, kerajaan perlu bertindak segera menggubal undang-undang bagi mengiktiraf hak dan menangani diskriminasi terhadap wanita.

“Malah, kita masih belum dapat melihat perwakilan wanita yang setara dalam jawatan kepimpinan dalam setiap peringkat masyarakat.

“Hanya 13.9 peratus wanita menduduki kerusi Parlimen, jadi saya rasa perlu ada usaha tinggi bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam politik,” katanya.

Terdahulu, Razali merujuk kepada statistik Jabatan Perangkaan, yang separuh daripada kesemua profesional dan pekerja teknikal terdiri daripada wanita.

Penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan hanya 54.7 peratus berbanding 80.7 peratus lelaki.

Manakala, hanya 22.2 peratus wanita menyandang jawatan tertinggi peringkat pengurusan dengan purata pendapatan kurang RM9.38 berbanding pekerja lelaki.

Ia termasuk hanya 23.3 peratus Ahli Lembaga Pengarah wanita dilantik dalam 100 syarikat terbesar tersenarai dalam Bursa Malaysia.


Pengarang :