Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Permatang Kuarza Gombak bakal diiktiraf Tapak Geopark Kebangsaan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MAC: Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) bakal diiktiraf sebagai sebahagian Tapak Geopark Kebangsaan.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, perkara berkenaan dipersetujui melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang bersidang pada 21 Februari lalu.

Katanya, konsep pembangunan geopark itu bakal memberi tiga aspek keseimbangan iaitu, kepentingan pemuliharaan sumber asli, pembangunan infrastruktur pelancongan serta aktiviti sosio-ekonomi yang menguntungkan masyarakat setempat.

“Antara potensi sosio-ekonomi kepada penduduk setempat sekiranya PKGS dimasyhurkan sebagai Tapak Geopark Kebangsaan ialah membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

“Pada masa sama ia mampu menarik pelancong, saintis, ahli geologi, pelajar dan pengkaji pelbagai bidang dari seluruh dunia.

“Lebih membanggakan apabila tapak PKGS akan lebih terkenal dan membuka ruang pertukaran maklumat dan kerjasama dalam kalangan geopark dunia di negara-negara lain,” katanya ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib berkenaan langkah terbaru Kerajaan Negeri bagi memelihara kawasan PKGS.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, geopark didefinisikan sebagai satu kawasan dengan keluasan bersesuaian, mempunyai sempadan jelas dan mengandungi beberapa tapak warisan geologi berkepentingan kebangsaan, serantau atau antarabangsa yang dibangunkan secara lestari.

Katanya, ia adalah untuk meningkatkan tahap ekonomi dan nilai budaya penduduk terutamanya menerusi aktiviti pelancongan.

PKGS atau turut dikenali sebagai Bukit Tabur diwartakan pada 18 Februari 2010 dengan keluasan lebih kurang 114 hektar sebagai Hutan Simpan Ulu Gombak Tambahan 1.

Ia satu keajaiban geologi bertaraf dunia yang mempunyai nilai warisan tinggi dan menjadi permatang kuarza terpanjang di Asia Tenggara iaitu lebih kurang 14 kilometer.

Permatang ini dibentuk daripada bendalir hidroterma batuan granit melalui rejahan berbentuk ‘dyke’ di sepanjang sesar Kuala Lumpur dan kini dianggarkan berusia antara 122 hingga 200 juta tahun.

Di antara puncak tertinggi yang terdapat di sepanjang permatang ini adalah Bukit Batu Tabur (534 meter (m)), Bukit Rata (367m) dan Bukit Batu Chondong (322m).

Pada permukaan permatang ini terdapat banyak batuan kristal kuarza yang berbentuk seperti pensel yang juga tahan terhadap proses luluhawa.

Foto Kredit: Tourism Selangor


Pengarang :