SELANGOR

Peruntukan Ramadan masjid dan surau kekal

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Bantuan kepada masjid dan surau sempena bulan Ramadan akan diteruskan seperti tahun sebelumnya dengan RM1,250 kepada masjid dan masing-masing RM1,000 untuk surau solat Jumaat serta surau kariah.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bagi tahun ini, semua bantuan akan disampaikan di setiap daerah dan Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan terbabit diminta untuk hadir bersama.

“Dari segi nilai bantuan, ia masih sama seperti tahun sebelumnya cuma untuk tahun ini cara penyaluran kita buat mengikut daerah. Saya minta semua ADN terbabit untuk sama-sama hadir pada majlis penyerahan bantuan yang akan kita adakan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin mengenai bantuan wang tunai kepada masjid dan surau sempena Ramadan.

Katanya, pemberian moreh tahun ini akan menumpukan kepada masjid dan surau yang mempunyai kekurangan pendapatan disebabkan kekurangan peruntukan jabatan untuk diagihkan pada 2019.

“Penilaian kekurangan pendapatan itu dibuat hasil laporan tahunan yang dihantar masjid dan surau kepasa Jabatan Agama Islam (JAIS). Dari situ kita akan pantau dan mengesan operasi mereka.

“Jika ADN mempunyai maklumat surau yang mempunyai masalah kekurangan pendapatan boleh diajukan kepada JAIS,” katanya.


Pengarang :