NASIONALSUKANKINI

Petanda jelas Selangor mahu program gaya hidup sihat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MAC: Sambutan menggalakkan lebih 10,000 rakyat Selangor pada Program Fit Malaysia 2019 menunjukkan petanda jelas akan komitmen mereka menjalani gaya hidup sihat.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, program itu adalah satu inisiatif bagi meningkatkan penyertaan masyarakat bersukan selain menyahut seruan menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan.

“Saya terkejut dan gembira dengan sambutan yang menggalakkan dari rakyat Selangor, ini menunjukkan mereka berminat dalam program sebegini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian program itu di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Syed Saddiq berkata, selepas Selangor, program itu akan turut diadakan di beberapa lokasi antaranya Terengganu, Kedah, Johor dan Sabah.

“Kita masih perhalusi negeri mana selepas ini, bagaimanapun saya mencadangkan ia diadakan di negeri Pantai Timur terlebih dahulu.

“Setakat ini, Terengganu menunjukkan minat dan kerjasama untuk mengadakan program ini,” katanya.

Pada masa sama, Syed Saddiq berkata, penganjuran program kali ini juga memberi peluang agensi kementeriannya mengurus sendiri tanpa membabitkan kontraktor luar.

Katanya, dengan pembabitan agensi kerajaan itu membolehkan kos yang diperuntukkan dikurangkan kepada RM300,000.

“Uniknya, kali ini kita tidak memanggil kontraktor luar atau konsultan swasta. Jika sebelum ini, program ini diperuntukkan sebanyak RM1.1 hingga 1.3 juta.

“Ini adalah pengiktirafan untuk penjawat awam yang mereka mampu lakukan program besar dengan kos rendah,” katanya.

Program bermula pada jam 8 pagi hingga 6 petang itu membabitkan semua golongan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) selain belia, keluarga serta kanak-kanak.

Sebanyak 27 aktiviti dianjurkan antaranya fit warrior, cabaran jump street, soopa doopa, fun ride, fun walk, aerobik, aerobikthon, demo silambam dan skipping gathering.

Selain itu, turut diadakan PUGB Mobile dan Mobile Legends, basket ball 3 on 3, silat dan touch ragby.


Pengarang :