GLOBAL

Pilih cara aman tangani konflik India-Pakistan

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap konflik terbaru dihadapi India dan Pakistan dapat ditangani secara aman.

Beliau percaya, walaupun krisis dihadapi kedua-dua kuasa nuklear itu berpanjangan, ia boleh diselesai secara diplomasi.

“Kalau ada apa-apa, boleh selesai secara rundingan, dengan baik dan diplomasi.

“Apa juga perbezaan perlu diselesaikan secara baik di meja perundingan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Yayasan Petronas di sini, hari ini.

Azizah juga menegaskan kedua-dua negara adalah kawan baik kepada Malaysia.

Laporan media menyebut ketegangan antara New Delhi dan Islamabad kian meningkat sejak serangan pengganas di Pulwana, India, pada 14 Februari lalu.

Dalam kejadian itu menyaksikan lebih 40 orang terkorban selain menyebabkan kecederaan kepada berpuluh-puluh yang lain.

Ketegangan kian memuncak apabila kedua-dua pihak mendakwa saling menembak jatuh jet tempur satu sama lain baru-baru ini.

– BERNAMA

 


Pengarang :