SELANGOR

PKNS Bizpoint komited bantu usahawan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 MAC: Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Bizpoint komited membantu usahawan mereka meluaskan perniagaan melalui pelbagai inisiatif.

Pengurusnya, Shamsul Bahrin Md Shukur berkata, ia bersesuaian dengan objektif kelab itu untuk mempertingkatkan keberkesanan pelaksanaan program keusahawanan, sekali gus mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera yang berdaya.

Katanya, sehingga kini pihaknya berjaya melahirkan lebih 100 ahli BizClub dan yakin jumlah itu akan meningkat dari semasa ke semasa.

“Pelbagai manfaat usahawan yang berdaftar dengan BizClub ini akan terima antaranya kita akan menyediakan bazaar untuk mereka berniaga secara mingguan atau tibanya musim perayaan di sekitar pusat komersial Seksyen 7, di sini.

“Malah, manfaat lain antaranya tersenarai dalam direktori BPU PKNS, keutamaan menyertai program promosi jualan anjuran BPU PKNS, menjadi ahli kumpulan WhatsApp PKNS BizClub dan dapat menerima pelbagai informasi program keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Taklimat “Jom Bisnes Raya Di Shopee” di PKNS BizPoint, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan mana-mana usahawan yang berminat untuk menyertai PKNS BizClub untuk menghadirkan diri ke BizPoint, Seksyen 7, di sini.

Shamsul Bahrin berkata, ahli PKNS BizClub boleh mendaftarkan diri dengan hanya dikenakan bayaran RM100 dan mereka boleh menggunakan fasiliti disediakan.

“Mereka boleh menggunakan ‘event space’ atau ‘working space’ yang ada di tingkat bawah bangunan kita jika mereka berminat mahu meluaskan pemasaran perniagaan,” katanya.


Pengarang :