SELANGOR

PKNS sumbang RM10 ribu bina petak sampah

OLEH UMIRAH IZRIN

SHAH ALAM, 15 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyumbang RM10,000 kepada Badan Pengurusan Bersama Penduduk (JMB) Pangsapuri Blok 9-14 Seksyen 18, di sini, semalam.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Ishak Hashim berkata, petak sampah itu adalah alternatif bagi menjamin kebersihan dan keselesaan kawasan penduduk setempat.

“PKNS komited membantu penduduk menyediakan fasiliti pengurusan pembuangan sampah terutama bagi menampung sampah pukal.

“Pembinaan tiga petak sampah ini untuk kegunaan bersama dan berharap masalah longgokan sampah pukal di bahu jalan serta padang permainan dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata, budaya penjagaan kebersihan perlu dididik agar penduduk tidak membuang sampah sesuka hati sekali gus mengotorkan kawasan persekitaran.

Sementara itu, pembuangan sampah yang tidak mengikut peraturan turut dibanteras.

Turut hadir, EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek.

Pada masa sama, Rodziah berkata, peruntukan khas peralatan gotong-royong disediakan kepada JMB dan persatuan bagi menggalakkan penduduk membudayakan amalan itu.

Justeru, JMB perlu memastikan penglibatan penduduk dalam setiap program atau aktiviti yang diadakan.

“Penglibatan semua golongan tanpa mengira peringkat umur dapat mengeratkan hubungan kejiranan antara penduduk. Malah, saya menggalakkan aktiviti kemasyarakatan dilaksanakan minggu ketiga setiap bulan,” katanya.


Pengarang :