PBTSELANGOR

“Plogging” daya tarikan terbaharu Hari Tanpa Kenderaan MDHS

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU SELANGOR, 31 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memperkenalkan aktiviti “plogging” sebagai daya tarikan terbaharu Selangor Hari Tanpa Kenderaan yang diadakan semalam, di Jalan Orkid, Bandar Bukit Sentosa.

MDHS dalam kenyataan berkata, “plogging” adalah aktiviti mengutip sampah di kawasan sekitar karnival secara santai sambil berjalan dan melakukan aktiviti riadah oleh pengunjung yang hadir.

“Aspirasi ini diambil semasa MDHS membuat lawatan ke Muar baru-baru ini, sekali gus MDHS mengambil peluang menjadi Pihak Berkuasa Tempatan pertama di Selangor menjalankan aktiviti ini.

“Program ini diadakan bertujuan memupuk kesedaran masyarakat berkenaan perntingnya menjaga alam sekitar selain menjadi landasan kepada warga Hulu Selangor untuk beriadah bersama keluarga,” katanya.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan antaranya kayuhan santai, larian santai, senamrobik, permainan PS4, Flea Market, berkuda dan Face Painting.

Difahamkan, penganjuran turut mendapat sokongan gerai pameran dan kaunter perkhidmatan bergerak dari agensi kerajaan dan swasta seperti Air Selangor, Pusat Wanita Berdaya, Prudential, Bank Simpanan Nasional dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menariknya, pengunjung berpeluang mengikuti bengkel membuat bunga dari barang terpakai, masakan, solekan muka dan tarian asas kanak-kanak.

Malah, program juga diserikan dengan persembahan seni pertahankan diri dan tarian kebudayaan seperti silat, taekwando, zapin dan tarian kuda kepang moden.

“Sambutan sepanjang program berlangsung cukup baik dan meriah apabila hampir 1,300 pengunjung hadir,” katanya.

Menariknya, program itu mendapat sambutan amat baik dan seramai hampir 500 pengunjung terawal menerima tshir secara percuma dan 50 cabutan bertuah dengan hadiah utama adalah televisyen LCD.

Antara yang hadir memeriahkan program itu adalah Ahli Parlimen Hulu Selangor,June Leow Hsuid; Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad dan Setiausaha MDHS, Awaludin Zakaria.


Pengarang :