NASIONAL

PLUS peruntuk RM5 juta perkasa usahawan wanita

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

DENGKIL, 4 MAC: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memperuntukkan RM5 juta bagi melaksanakan Program Keusahawanan Wanita (WEP) dalam memperkasakan lebih ramai usahawan wanita di kawasan rehat dan rawat (R&R) dikendalikannya.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim berkata, program julung kali itu juga menawarkan latihan, bimbingan mentor dan bantuan perniagaan kepada 20 wanita setiap tahun.

Katanya, sasaran utama WEP adalah kaum wanita yang tinggal dalam lingkungan 30 kilometer dari lebuh raya seperti ibu tunggal, golongan B40 dan wanita berusia 23 hingga 36 tahun.

“Mereka yang terpilih akan diberikan latihan, bimbingan mentor, bantuan perniagaan, pendedahan dan kemahiran tentang aspek perniagaan.

“Selain itu, mereka juga berpeluang menjalankan perniagaan makanan dan kraftangan berkonsepkan Push Cart atau kiosk di kawasan R&R PLUS selama dua tahun program berlangsung,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran WEP PLUS di R&R Dengkil arah selatan, di sini.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh serta Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Mohd Sheriff berkata, menerusi WEP, usahawan wanita turut berpeluang mengembangkan perniagaan mereka dan memasarkan produk secara terus kepada pelanggan lebuh raya atau hentian sebelah.

Pada masa sama, katanya, R&R PLUS memainkan peranan penting dalam mewujudkan kira-kira 5,500 peluang pekerjaan.

“Ketika ini, terdapat lebih 600 gerai beroperasi di R&R PLUS, daripada jumlah itu sebanyak 46 peratus diusahakan wanita dan tujuh peratus terdiri daripada ibu tunggal.

“Penduduk sekitar diberi peluang berniaga di 24 R&R PLUS, empat restoran jejantas serta 46 hentian sebelah di sepanjang rangkaian lebuh raya PLUS,” katanya.

Pendaftaran program WEP itu akan dibuka pada 15 April ini dan pengambilan pertama bermula pada Ogos depan.


Pengarang :