PM: Malaysia tidak isytihar perang perdagangan terhadap EU | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

PM: Malaysia tidak isytihar perang perdagangan terhadap EU

LANGKAWI, 26 MAC: Malaysia tidak melancarkan perang perdagangan terhadap Kesatuan Eropah (EU) tetapi hanya memaklumkan kepada dunia tentang masalah dihadapi Malaysia berikutan keputusan blok itu untuk melarang penggunaan minyak sawit dalam biofuel, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, negara tidak mengisytiharkan perang perdagangan dengan EU apabila beliau menyatakan bahawa Malaysia akan melihat kepada negara lain untuk membeli jet pejuang, daripada membelinya daripada syarikat Eropah berikutan layanan tidak adil EU terhadap pengeluar minyak sawit.

“Apa yang saya lakukan, saya memberitahu dunia bahawa amat tidak adil untuk negara-negara kaya menghalang negara-negara miskin daripada menjadi lebih kaya dengan tidak membeli produk mereka. Itu sahaja. Ia bukan (mengisytiharkan) perang perdagangan,” katanya kepada pemberita pada taklimat yang diadakan bersempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di sini, hari ini.


Ditanya mengenai hubungan Malaysia-Afrika, beliau berkata, perkembangan negara agak perlahan dari segi memupuk hubungan dengan negara-negara Afrika selepas beliau berundur daripada jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum ini, dan adalah amat mencabar untuk beliau meningkatkan hubungan berikutan beliau mempunyai masa yang terhad.

“Saya memberi tumpuan untuk membina hubungan baik dengan negara-negara Afrika. Negara-negara Afrika amat kaya (dan) sebab itu kenapa orang Eropah pergi ke sana dan masih pergi ke sana.

“Sekarang saya menjadi Perdana Menteri semula, saya ingin melakukan perkara sama. Satu-satunya masalah adalah saya mempunyai tempoh masa yang singkat dan saya terpaksa pulun melaksanakan kerja untuk tempoh 10 tahun dalam masa dua tahun sahaja. Jadi, ia agak sukar,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, terdapat banyak pihak memohon untuk melabur di Malaysia tetapi kerajaan perlu membuat tapisan agar hanya pelaburan berkualiti diluluskan.

“Kami perlu melihat pelbagai aspek kerana kami tidak mahu timbul masalah di kemudian hari,” katanya.

Dr Mahathir menambah pelaburan yang diluluskan juga memerlukan masa untuk menjadi kenyataan dan tidak akan berlaku dalam waktu semalaman.

LIMA’19 diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri dan Resorts World Langkawi akan berakhir pada 30 Mac.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next