BERITA UTAMASELANGOR

Pokok besar tumbang punca kediaman rosak teruk-MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 29 MAC: Puluhan pokok sebesar pemeluk dewasa yang tumbang dalam kejadian ribut di Kampung Batu 11, petang semalam menjadi punca kerosakan teruk beberapa kediaman.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, terdapat banyak pokok berusia puluhan tahun, termasuk pokok hutan dan pokok durian yang lebih cenderung tumbang ketika ribut.

“Kita dapati rumah rosak teruk kerana dihempap pokok terbabit, berbanding kejadian ribut di Tanjong Karang yang menjejaskan kediaman ekoran kawasan lapang sawah padi,” katanya yang ditemui selepas menziarahi mangsa ribut, di Dewan Serbaguna JAKOA Batu 12, di sini.

Hadir sama, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

Pada masa sama, Amirudin berkata, ribut yang pertama kali berlaku di kawasan terbabit turut dikatakan berpunca daripada cuaca panas melampau, sejak akhir-akhir ini.

“Tekanan itu berkemungkinan menjadi faktor kepada kejadian puting beliung. Kerajaan Negeri tidak pernah menjangkakan kejadian bencana akan berlaku, kerana ia adalah di luar jangkaan kita.

“Namun, jaminan saya kepada penduduk Selangor ialah jentera Kerajaan Negeri sentiasa bersiap sedia kerana jawatankuasa bencana sentiasa bergerak pantas,” katanya.

Kejadian ribut itu mejejaskan beberapa kawasan di Gombak Utara yang turut membabitkan lima buah rumah di Pondok Penyayang Raudhah.


Pengarang :