NASIONAL

Polis tahan dua lelaki disyaki pecah rumah di Empire City

PETALING JAYA, 4 MAC: Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah di kawasan kondominium Empire City Damansara sejak Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek berusia 42 dan 48 tahun terbabit diberkas di kawasan parkir sebuah kondominium di Damansara Perdana pada jam 9 malam, Sabtu lalu.

Mereka adalah tiga sekumpulan yang dipercayai terbabit dalam empat kes pecah rumah di kawasan berkenaan dan polis kini sedang memburu seorang lagi suspek berusia 42 tahun yang dikenali sebagai Ah Kit, katanya pada sidang medi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya merampas pelbagai barangan yang disyaki hasil kegiatan pecah rumah berkenaan, antaranya jam tangan pelbagai jenama, dua unit telefon bimbit jenis Iphone 5 dan Samsung Note 3 serta lensa kamera dengan nilai semuanya dianggar RM10,000 selain pelbagai peralatan untuk kegiatan pecah rumah.

Kedua-dua suspek yang didapati positif dadah jenis syabu kini direman hingga Rabu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, katanya, lapor BERNAMA.

Dalam satu lagi kes, Mohd Zani berkata, pihaknya melumpuhkan Geng Katik yang disyaki giat melakukan samun tepi jalan, ragut, pecah rumah serta curi motosikal di di kawasan Sri Damansara selepas menahan lima anggotanya pada Khamis lalu.

Semua lelaki tempatan berusia 22 hingga 35 tahun terbabit ditahan menerusi beberapa operasi di sekitar Damansara Damai, katanya.

“Antara yang dirampas ialah tiga motosikal, 23 telefon bimbit pelbagai jenama, 13 jam tangan pelbagai jenama, sebuah laptop, sembilan beg berjenama, barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM70,000,” katanya.

Beliau berkata, semua mereka didapati positif dadah jenis syabu dan geng ini dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak Januari lalu dengan jumlah kes masih dalam siasatan.

“Mereka kini ditahan reman sehingga esok dan polis sedang mengesan seorang lagi rakan sejenayah suspek dikenali sebagai Syafiq Bangla, berusia 27 tahun dan beralamat di Sungai Buloh,” katanya.


Pengarang :