JOHOR BAHRU, 11 Mac — Orang awam melihat sisa cecair kimia yang berkumpul di ‘Oil Boom’ yang dipasang bagi menyerap bahan sisa buangan daripada terus merebak semasa melalui Sungai Kim Kim ketika tinjauan Bernama di kampung tersebut hari ini. Pada Khamis lepas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh terpaksa ditutup berikutan pencemaran udara berikutan pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim oleh pihak tidak bertanggungjawab awal pagi hari yang sama. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Polis tahan tiga suspek buang bahan kimia

PASIR GUDANG, 11 MAC: Polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menahan tiga suspek yang dipercayai membuang sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim, di sini, sehingga mengakibatkan pencemaran gas metana, pada 7 Mac lalu.

Pengarah JAS negeri, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, tiga lelaki berusia 50-an, termasuk dua pemilik kilang, ditahan dalam operasi khas semalam dan hari ini.

“Seorang pemilik kilang memproses barangan lusuh bersama pekerjanya ditahan di kawasan kilangnya di Taman Pasir Putih di sini, jam 12.30 tengah hari tadi.

“Seorang lagi pemilik kilang memproses bahan kimia ditahan di Kulai dekat sini, jam 7 malam tadi,” katanya menurut laporan BH Online.

Beliau berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan dan yakin mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa mereka minggu ini.

Terdahulu, seramai 1,400 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, di sini, diarah mengosongkan kawasan sekolah itu kira-kira 10.30 pagi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Secara keseluruhan, seramai 82 mangsa dirawat di hospital dan klinik ekoran pencemaran gas itu dengan empat orang termasuk dua pelajar SMK Pasir Putih, selain seorang pengusaha kantin dan pemandu ambulans dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia daripada sebuah lori tangki ke dalam Sungai Kim Kim oleh pihak tidak bertanggungjawab, kira-kira jam 2 pagi Khamis lalu.

 


Pengarang :