PBTSELANGOR

Potensi ketengah produk pelancongan Kedah ke Kuala Langat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

ALOR SETAR, 28 MAC: Kepelbagaian produk pelancongan dari Kedah berpotensi untuk diketengahkan ke Kuala Langat, sejajar usaha mempromosikan daerah itu sebagai destinasi pelancongan terkenal, di Selangor.

Penolong Setiausaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Zulfatul Husna Zakaria berkata, perkembangan positif itu bukan sahaja akan menggamit lebih ramai kemasukan pelancong, malahan berupaya melonjakkan industri pelancongan kedua-dua pihak terbabit.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha mempromosi produk yang ada di negeri berkenaan dengan melihat keperluan merangka hala tuju dan pendekatan holistik terhadap perkara itu.

“Kita akan berbincang dengan pihak pengurusan untuk mempromosikan produk pelancongan dari Kedah ke Kuala Langat atau Selangor secara amnya.

“Di MBAS, kita juga ada bahagian pelancongan yang akan menjalankan promosi bagi produk pelancongan terutama di Alor Setar dan Kedah amnya

“Ia akan digerakkan secara bersama melalui Unit Perancang Negeri misalnya unit pelancongan untuk kita meneruskan kolaborsi yang akan memberi impak positif dalam industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi penyerahan bahan promosi Retromania Grand Gathering 2019 (RGG’19) yang bakal berlangsung secara besar-besaran, di Dataran Pantai Morib, pada 13 dan 14 April ini.

Terdahulu, Zulfatul yang mewakili Datuk Bandar MBAS menerima bahan promosi itu daripada Yang Dipertua MDKL, Mohd Zain A Hamid, di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Alor Setar, di sini, hari ini.

Ditanya bentuk mekanisme akan diatur untuk turut menjayakan RGG’19, Zulfatul memaklumkan, pihaknya komited membantu penganjuran program itu dengan mempergiatkan kempen hebahan kepada umum seterusnya memastikan penyertaan menggalakkan peserta, khususnya dari Kedah.

Beliau akan memanjangkan cadangan kepada pengurusan tertinggi untuk terus menjalin kerjasama utuh dalam pelbagai program yang dirancang selepas ini.

“Kita akan bekerjasama dengan kelab konvoi MBAS dan MDKL termasuk pihak berkuasa tempatan di Selangor yang turut menyertai konvoi ini, selain mempromosi pelbagai program lain seperti Pesta Morib,” katanya.


Pengarang :