NASIONALSENI

Premis kerajaan, hotel digalak pamer seni lukisan tempatan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 MAC: Bangunan kerajaan dan premis hotel disaran mempamerkan karya lukisan anak tempatan dalam usaha mengangkat seni kontemporari Malaysia dan budaya, di negara ini.

Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad berkata, ia sekali gus menjulang karya artis berkenaan ke tahap lebih tinggi.

Katanya, hasil lukisan seni kreatif yang menggambarkan budaya negara adalah warisan bernilai khususnya kepada generasi masa hadapan.

“Jika di Indonesia, mereka memang mengangkat karya pelukis tempatan, contohnya apabila masuk sahaja hotel di sana, kita boleh rasa ‘roh’ negara berkenaan dengan lukisan serta hasil seni sahaja.

“Namun, malangnya di Malaysia kita tidak dapat rasa itu sebab kebanyakan hotel jarang mengangkat lukisan serta karya seni tempatan yang mengambarkan kehidupan, di negara ini.

“Oleh itu, perlu ada satu sistem yang menyokong dari pihak swasta mahupun kerajaan sebagai galakan kepada mereka untuk terus menghasilkan karya berimejkan budaya yang ada di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Pameran RONAisme (Gaya Naif Malaysia) di Galeri Shah Alam, Seksyen 14, di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Lembaga Yayasan Seni Selangor, Prof Dato’ Raja Zahabuddin Raja Yaacob.

Mengulas berkenaan pameran itu, beliau berkata, sebanyak 80 peratus karya yang dipamerkan mengetengahkan tema desa yang wujud, di negara ini.

“Kita harus pandang bakat mereka kerana kesemua hasil seni ini menggambarkan pelbagai cerita dan mempunyai nilai yang tinggi.

“Jika dahulu, pelukis tempatan jarang diiktiraf, namun apabila mereka sudah meninggal dunia, karya mereka akan mula menjadi rebutan dan bernilai tinggi,” katanya.

RONAisme adalah pameran untuk mendekatkan seni visual dengan masyarakat selain memberi pendekatan perkembangan Pendidikan Seni yang positif, di negara ini.

Pameran itu menghimpunkan 80 karya lukisan yang cenderung kepada perspektif keanak-anakan daripada 27 pelukis tempatan, di seluruh Malaysia.

Pameran itu terbuka kepada orang ramai setiap hari, pada jam 9 pagi hingga 6 petang, di Galeri Shah Alam.


Pengarang :