PRK Rantau: Proses penamanaan calon bermula | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

PRK Rantau: Proses penamanaan calon bermula

SEREMBAN, 30 MAC: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bermula pukul 9 pagi ini di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, di sini

Proses penamaan calon berlangsung selama satu jam di mana calon perlu mengemukakan Kertas Penamaan Calon masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi perlu dikemukakan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya bersama pencadang atau penyokong. Selepas membuat semakan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya seterusnya akan mengumumkan secara rasmi calon-calon yang layak bertanding di kerusi itu.


Sementara itu para penyokong kedua-dua parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mula berkumpul di kawasan pusat penamaan calon seawal pukul 7 pagi dengan membawa bendera parti masing-masing.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah.

SPR menetapkan tempoh kempen selama 14 hari bermula hari ini dengan tarikh mengundi pada 13 April manakala 9 April ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat orang pengundi tidak hadir luar negara.

Daripada jumlah tersebut, 55.11 peratus atau 11,283 adalah pengundi Melayu, Cina (18.80 peratus atau 3,849), India (26.06 peratus atau 5,336) dan lain-lain (0.02 peratus atau empat).

PRK DUN Rantau merupakan PRK ketujuh selepas PRU14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac). –BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next