NASIONAL

PRK Rantau: SPR keluarkan amaran bagi penamaan calon

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan tempoh masa untuk mengemukakan kertas penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau ialah dari 9 pagi hingga 10 pagi, Sabtu ini (30 Mac).

Pusat penamaan calon yang ditetapkan ialah di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sri Sendayan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, kertas penamaan calon yang lengkap diisi dengan betul boleh dikemukakan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya oleh calon, pencadang dan penyokong; atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka.

“SPR mengingatkan bakal calon yang telah membayar deposit pilihan raya agar membawa resit pembayaran deposit tersebut pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, calon yang bertanding mewakili parti politik diingatkan supaya membawa surat kebenaran daripada parti yang membenarkan mereka menggunakan simbol parti.

“Orang ramai juga dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon,” katanya.

Antara perkara yang tidak boleh dilakukan semasa hari penamaan calon ialah penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui apa-apa cara termasuk penggunaan kenderaan.

“Bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan aman, semua pihak diminta sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan SPR, polis dan pihak berkuasa tempatan,” kata Azhar. -BERNAMA


Pengarang :