NASIONAL

PRK Semenyih bukan medan cetus konfrontasi kaum & agama

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEMENYIH, 1 MAC: Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih bukan medan mencetuskan konfrontasi kaum dan agama, sebaliknya menjadi medan menentukan calon serta parti yang mampu menyelesaikan masalah rakyat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti pembangkang tidak mempunyai sebarang perancangan dalam memastikan kesejahteraan rakyat, bahkan terus memecahbelahkan kepercayaan dengan memainkan sentimen kaum dan agama.

“Kalau parti lawan berkempen hanya mahu pecah belahkan kaum dan juga mewakili satu bangsa, jadi bagaimana kita mahu bersatu padu ?

“Pilihlah parti yang beretika, bermoral dan bersih serta parti yang tak makan wang rakyat,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PAKATAN), di Pelangi Semenyih, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, kerajaan di bawah PAKATAN layak menerajui pemerintahan negara masa kini memandangkan parti itu boleh mewakili semua rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama mahupun bangsa.

“Kita wakili semua. Sungguhpun Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu orang Melayu, tetapi mereka juga prihatin tentang masalah orang bukan Melayu kerana (mereka) rakyat Malaysia.

“Sama juga seperti saya seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina, tetapi saya mahu mewakili semua kaum tidak kira Melayu, India, Iban dan Kadazan kerana kita semua anak Malaysia!,” katanya.

PRK Semenyih bakal berlangsung esok dengan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PAKATAN), Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon bebas, Kuan Chee Heng.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lalu ekoran serangan jantung.


Pengarang :