SELANGOR

Program INSAN tingkat kualiti hidup masyarakat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM 20 MAC: Pelaksanaan program INSAN menjadi agenda penting Kerajaan Negeri melahirkan rakyat yang cemerlang, berdaya maju dan berdaya saing dikekalkan selaras meningkatkan kualiti hidup masyarakat, kata Mohd Khairuddin Othman.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan itu berkata, program yang sebelum ini dikenali sebagai Spiritual, Physical, Intelektual, Emosi dan Sosial (SPIES) memfokuskan kepada beberapa kluster utama meliputi belia, remaja, komuniti, keluarga dan wanita.

“Antara program disusun melalui kluster utama ini termasuk program pemantapan jati diri belia, sembang santai budaya buli, program kesedaran pencegahan gejala sosial dan bengkel remaja cemerlang.

“Program Insan Komuniti pula membabitkan program pengupayaan pimpinan komuniti, program kemahiran ‘coaching’ bagi pertubuhan bukan kerajaan dan program karnival komuniti prihatin.

“Sementara itu, program Insan Keluarga antaranya program Semarak Ramadhan Jalinan Ukhuwah Penduduk, forum perdana rakyat maghrifah dan pembebasan serta program pembangunan kemahiran pentadbiran rumah perlindungan termasuk kursus asas kemahiran kaunseling bagi pembangunan insan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung perancangan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan modal insan, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, program diwujudkan sejak 2008 itu memberi banyak manfaat terutama terhadap kualiti hidup masyarakat, sekali gus menjadi aset penting Kerajaan Negeri yang berupaya menyumbang kepada pencapaian serta hala tuju Selangor.

“Ia memberi penekanan dalam penerapan nilai murni bagi mewujudkan individu dan masyarakat yang mempunyai jati diri kuat seterusnya menjadikan masyarakat yang prihatin,” katanya.

Terdahulu, kerangka INSAN menjadi satu model pembangunan modal insan bagi diri, keluarga, organisasi dan masyarakat untuk Selangor.

Ia mengandungi beberapa modul yang dijalankan bagi membantu peserta memahami konsep INSAN dan bagaimana peserta mengaplikasikan atau menghayati konsep itu dalam kehidupan harian, sama ada dalam diri, keluarga, di tempat kerja termasuk masyarakat.


Pengarang :