SELANGOR

Proses pembersihan kolam takungan Taman Eng Ann sudah 85 peratus

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 MAC: Proses pengeluaran sisa industri di kolam takungan banjir Taman Eng Ann sudah mencapai 85 peratus sehingga jam 10 malam, semalam dan ia dijangka selesai sepenuhnya dalam masa terdekat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya akan memantau kerja-kerja pembersihan dari semasa ke semasa dan setakat ini tiada laporan pencemaran di tempat lain.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua agensi yang bertindak pantas dan prihatin terhadap masalah pencemaran yang berlaku.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada pencemaran (baharu) dan kita akan memantau dari semasa ke semasa serta memerlukan maklumat daripada orang awam kerana kita mempunyai banyak sungai dan kawasan berpotensi pembuangan sisa pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas selesai Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) Kali ke-14 Tahun 2019.

Katanya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memberikan laporan setiap hari berhubung perkembangan gerak kerja pembersihan.

Sebelum ini, sebanyak 21 bahan industri ditemui dalam laporan awal kajian makmal yang dilakukan terhadap sampel pencemaran di lokasi pencemaran di Taman Eng Ann.

Secara keseluruhan keadaan pencemaran di kawasan ini terkawal dan orang awam diminta bertenang serta tidak menyebarkan maklumat palsu terutama menerusi laman sosial.


Pengarang :