SELANGOR

Proses pembersihan Sungai Klang selesai hari ini

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerja pembersihan Sungai Klang yang tercemar dengan sisa bahan kimia ekoran dibuang pihak tidak bertanggungjawab, pada Khamis lalu dijangka selesai hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerja pembersihan sudah dimulakan sejak semalam oleh pihak berkuasa dan setakat 10 pagi tadi, semua longkang yang mengalir ke Sungai Klang yang dicemari sisa bahan kimia itu sudah dibersihkan.

“Kita sudah mula menyedut bahan yang tercemar itu daripada kolam takungan ke dalam lori yang disediakan, jadi besar harapan kita supaya ia dapat dipulihkan segera.

“Awalnya, kita menjangkakan proses pembersihan akan mengambil masa selama dua hari, tetapi semuanya berjalan lancar sejak semalam dan hari ini saya rasa dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Melestari Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Selangor serta penyampaian tauliah pelantikan anggota jawatankuasa kariah masjid 2019, di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Turut hadir, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Amirudin turut memuji tindakan cekap Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Daerah, Pejabat Tanah serta semua agensi berkaitan kerana menguruskan kejadian berkenaan dengan cepat, sekali gus dapat mengelakkan kejadian lebih bahaya berlaku.

“Setakat ini kita belum mengenal pasti lagi siapa pelaku yang membuang sisa bahan kimia berkenaan tetapi langkah awal yang kita ambil ialah membersihkan kawasan berkenaan tetapi dengan sampel yang kita ambil kita akan mengetahui siapa pelakunya,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :