SELANGOR

Proses pemilihan MPP INPENS lancar

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA SELANGOR, 13 MAC: Proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) sesi 2019, pada 10 Mac lalu berjalan lancar, sekali gus membuktikan demokrasi subur diamalkan, di institusi itu.

Eksekutif Hal Ehwal Pelajarnya, Nur ‘Adnin Syamil Halik Bassah berkata, proses pemilihan yang berlangsung pada 10 Mac lalu berjalan tanpa sebarang gangguan.

Katanya, proses kiraan undi dijalankan dengan disaksikan kesemua 44 calon yang bertanding.

“Seramai 314 atau 59.92 peratus pelajar turun mengundi dengan menggunakan kaedah sama yang diamalkan dalam pilihan raya umum. Pelajar turut dicalitkan kuku dengan dakwat biru tanda sudah mengundi.

“Ini sekali gus memberikan peluang kepada pelajar yang kebanyakannya berusia bawah 21 tahun untuk merasai sendiri pengalaman mengundi ketika pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Pelajarnya, Nahar Sharif berharap supaya barisan MPP membawa satu anjakan baharu terhadap graduan INPENS.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua calon. Kepada yang menang, selamat memikul amanah dengan penuh dedikasi.

“Diharap MPP akan membawa satu anjakan baharu dalam memastikan graduan kemahiran INPENS menjadi rebutan dalam kalangan industri mega,” katanya.

Sebanyak 20 kerusi dipertandingkan membabitkan lima kerusi umum dan 15 kerusi sektor dalam pemilihan itu.


Pengarang :