NASIONAL

Proton X70 atasi rekod jumlah penyerahan SUV

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton, X70, mengatasi semua catatan terdahulu bagi jumlah penyerahan dalam segmen itu, sekali gus memperkukuh jenama automotif nasional sebagai antara peneraju dalam pasaran SUV Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong dalam kenyataan berkata, syarikat itu sudah menjual 8,500 unit SUV itu hanya dalam tempoh 100 hari selepas ia dilancarkan.

Katanya, Proton turut merekodkan kadar pertumbuhan jualan tertinggi dalam kalangan tiga jenama automotif utama di Malaysia, apabila mencapai 42 peratus bagi tempoh dua bulan pertama 2019.

Pemacu utama prestasi ini adalah Proton X70, yang menjadi model paling popular pada Januari dan Februari (berdasarkan angka pendaftaran rasmi) serta berada di landasan untuk mencapai pengiktirafan yang sama bagi bulan ketiga berturut-turut, katanya.

“Ini membuktikan pembeli kereta di Malaysia meminati SUV pertama kami, dan Proton akan terus menghargai sokongan mereka, malah sentiasa berusaha menyiapkan lebih banyak unit secepat mungkin bagi mengurangkan tempoh menunggu,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :