Selangorkini
GLOBAL

PRU Thailand Pheu Thai dijangka mulakan rundingan dengan ‘parti pro-demokrasi’

BANGKOK, 26 MAC: Parti Pheu Thai dijangka memulakan rundingan dengan mana-mana ‘parti pro-demokrasi’ bagi membentuk kerajaan gabungan di Thailand.

Calon Perdana Menteri Pheu Thai, Sudarat Keyuraphan berkata, parti itu berpegang kepada prinsipnya untuk menjalin kerjasama hanya dengan parti yang menentang pemerintahan tentera di Thailand.

“Parti dengan jumlah kerusi tertinggi harus membentuk kerajaan gabungan kerana kami mempunyai konsensus daripada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin malam.

Parti Pheu Thai, yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, kini mendahului dengan 137 daripada sejumlah 350 kerusi kawasan dalam pilihan raya umum Thailand yang berlangsung pada Ahad.

Parti Palang Pracharat yang pro-tentera berada di kedudukan kedua dengan 97 kerusi.

Sementara itu, pemimpin Parti Future Forward Thanathorn Juangroongruangkit berkata, Pheu Thai telah menemui pihaknya untuk membentuk kerajaan gabungan.

“Kami bersetuju atas prinsip bagi menghentikan pemerintahan tentera,” kata beliau.

Pengundian pada Ahad diadakan bagi memilih 500 anggota Dewan Rakyat dan 350 daripada mereka dipilih secara langsung melalui pilihan raya kawasan.

Sejumlah 150 lagi akan dipilih berdasarkan calon yang disenaraikan parti.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :