SELANGOR

Pusat Kecemerlangan Cloud Computing latih penjawat awam

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 20 MAC: Pusat Kecemerlangan Cloud Computing atau pengkomputeran awan bagi melatih penjawat awam di Selangor mempertingkat kemahiran dan pengetahuan perkhidmatan bakal dilancarkan Julai ini.

Pengarah Projek dan Pembagunan Perniagaan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Mazlan Mahadi berkata, pihaknya diberi tanggungjawab oleh Kerajaan Negeri untuk mempersiapkan penjawat awam menghadapi cabaran seiring perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“SSDU melihat pelbagai agensi kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan perlu melengkapkan diri dan pengetahuan dalam penggunaan Cloud Computing ini.

“Ramai penjawat awam masih belum cukup meneroka kemudahan yang terdapat dalam teknologi ini.

“Justeru, menjadi hasrat SSDU melahirkan sejumlah penjawat awam yang mahir menerusi pusat kecemerlangan di Universiti Kebangsaan Malaysia itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui di Program Smart Selangor AWS Students Awareness, di Taylor’s University, di sini.

Mazlan berkata, reformasi perkhidmatan awam dengan menambah baik segala tadbir urus serta mendukung akauntabiliti dan ketelusan dalam pentadbiran akan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kecekapan perkhidmatan awam.

Pada masa sama, Mazlan berkata, teknologi baharu seperti Cloud Computing itu diterima dan digunapakai secara tidak sedar dalam kalangan masyarakat.

“Sebagai contoh, bagaimana kita menyimpan data-data menggunakan iCloud atau google drive. Itu merupakan asas kepada cloud computing. Namun, ia hanya perkara asas dan banyak lagi boleh diteroka,” katanya.

IR4.0 kini merangkumi pelbagai teknologi baharu antaranya automasi, Internet Of Things, analisis data besar, simulasi, robotik, kecerdasan buatan dan cloud computing bagi merancakkan kemajuan landskap dunia moden.


Pengarang :