GLOBALNASIONAL

Quebec mahu halang penjawat awam pakai hijab, kippah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 MAC: Sebuah wilayah di Kanada mahu menguatkuasakan undang-undang yang menghalang penjawat awam mengenakan pakaian bersimbol agama di tempat kerja.

Rang undang-undang itu membabitkan hakim, pendakwa, pegawai polis, guru dan beberapa jawatan kerajaan yang lain, lapor portal BBC semalam.

Diperkenalkan oleh gabungan Coalition Avenir Quebec (CAQ), Rang Undang-Undang 21 membabitkan penutup kepala seperti kippah bagi Yahudi, turban (Sikh) dan hijab (Islam).

Bagaimanapun, menurut laporan itu lagi, beberapa kumpulan sedang berusaha menentang undang-undang yang dicadangkan parti pemerintah itu.

CAQ, menang pada pilihan raya musim luruh lalu, berharap dapat meluluskan undang-undang itu pada musim panas nanti dengan alasan ia mewakili “nilai-nilai” penduduk wilayah itu.

Sebuah persatuan pendidikan, yang mewakili 43,000 ahli, membantah larangan tersebut yang dianggap melanggar hak-hak asasi di Kanada.

Isu agama dan pentadbiran sekular sering menjadi perdebatan di wilayah berkenaan sejak sedekad lalu, malah rang undang-undang ini bukan usaha pertama yang mahu diperkenalkan parti politik.


Pengarang :