Selangorkini
NASIONAL

Rahmatan lil alamin pendekatan kerajaan wujudkan negara rahmah

ALOR SETAR, 25 MAC: Gagasan ‘rahmatan lil alamin’ adalah satu pendekatan besar yang dibawa oleh pihak kerajaan ke arah mewujudkan sebuah negara ‘rahmah’, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata, pendekatan itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14 pada 11 Mac lalu.

“Menurut baginda, usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan rahmatan lil alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam yang sebenar.

“Ia diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia dan seterusnya menjadi model Malaysia iaitu model negara Islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar,” katanya ketika berucap pada Program Rahmah Peringkat Kebangsaan 2019 dan Pelancaran Kedah Bertadabbur di sini, malam tadi.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat gagasan itu, kerajaan juga memperkenalkan konsep Masjid Rahmah yang menerapkan kriteria rahmah dalam institusi masjid merangkumi aspek ramah, aman, harmoni, mesra, alami dan hormat.

Mujahid berkata, Masjid Rahmah memfokuskan ke arah meningkatkan kualiti pengurusan dan pengimarahan masjid sebagai pusat kerohanian dan sosial kepada setiap lapisan masyarakat agar peranan masjid diperluaskan kepada menyantuni masyarakat Islam dan umat manusia seluruhnya.

“Saya mengharapkan agar konsep Masjid Rahmah ini akan memperkasakan lagi peranan dan fungsi masjid merangkumi aspek-aspek utama iaitu pengurusan, pengimarahan, kemudahan prasarana dan persekitaran,” katanya.

Pada program itu, beliau turut menyampaikan bantuan daripada kerajaan persekutuan bernilai RM71.8 juta kepada Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN) khusus untuk manfaat pembangunan 908 sekolah tahfiz dan 158 sekolah pondok berdaftar di seluruh negara.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir; ​Mufti Kedah, Syeikh Fadzil Awang serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, Datuk Abdul Rahman Ismail.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :