NASIONAL

Ramai PATI sembunyi di sempadan sebelum masuk Malaysia

ALOR SETAR, 6 MAC: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) percaya lebih ramai warga asing sedang bersembunyi di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah, sebelum menyusup masuk ke negara ini.

Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, ia susulan penangkapan dua lagi pendatang asing tanpa izin (PATI), berusia 31 dan 19 tahun, di kawasan itu, petang semalam.

Katanya, kedua-dua mereka ditahan di kawasan bukit laluan paip gas berhampiran Pos 5, pada jam 3 dan 5 petang oleh dua kumpulan ronda pasukan Batalion ke-5 Rejimen Sempadan (5RS).

“Warga asing terbabit dipercayai sebahagian daripada lima yang ditahan, semalam selepas terpaksa keluar dari tempat persembunyian ekoran lapar dan dahaga.

“Wanita terbabit ditahan ketika sedang berjalan di kawasan itu seorang diri dan selepas diperiksa, dia gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah.

“Usaha menjejak baki kumpulan itu diteruskan kumpulan ronda dan kira-kira pada jam 5 petang, seorang lelaki ditahan selepas dilihat berjalan di kawasan sama,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, warga asing yang ditahan itu kemudian diberikan makan serta minum sebelum diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

“Kita akan terus mengesan mereka yang kini dipercayai masih bersembunyi di sekitar sempadan dan anggota sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :