SELANGOR

Rangka program kondusif, TVET bukan pengajian kelas kedua

OLEH NORHAYATI UMOR

SERDANG, 16 MAC: Bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) kini dirangka dengan lebih kondusif bagi memberi peluang kepada lepasan pelajar mencipta pendapat lumayan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, semua pihak khususnya ibu bapa perlu mengubah presepsi terhadap bidang itu kerana ia bukan lagi pengajian kelas kedua.

“Saya baru selesai melawat ke beberapa daerah dan institusi di Jerman dan Switzerland untuk melihat bagaimana Selangor boleh memberi nilai tambah dalam menyediakan latihan seperti negara itu.

“Kita mahu bidang ini memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat negeri ini kerana bidang ini bukan lagi peluang kedua bagi pelajar yang tercicir, sebaliknya ia menawarkan masa depan cerah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Selangor Mega Job Fair 2018, di MAEPS, di sini, hari ini.

Mengulas penganjuran program itu, Amirudin berkata, situasi politik yang stabil di peringkat persekutuan dan negeri membolehkan pihaknya menerima penyertaan daripada 180 syarikat yang menawarkan 11,000 peluang pekerjaan.

Beliau percaya tawaran yang dikeluarkan pada acaara itu bukan sahaja perkhidmatan sokongan, malah juga profesional yang menawarkan pendapatan lumayan kepada bakal pekerja.

“Dunia pekerjaan ketika ini tidak seperti masa lampau. Masa kini banyak perubahan besar yang berlaku menuntut semua pihak lebih bersedia.

“Sebagai contoh cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 menuntut kita lebih positif, oleh itu jangan bimbang atau takut.

“Kerajaan Negeri akan membuka lebih peluang menyusuri ruang ini bagi meningkatkan kualiti mahasiswa atau kakitangan awam mahupun swasta bagi berdepan revolusi ini,” katanya.

 


Pengarang :