SELANGOR

R&D Fair angkat martabat gugusan pendidikan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Inisiatif Kerajaan Negeri dalam memartabatkan Selangor sebagai gugusan pendidikan akan diteruskan dengan penganjuran program Research & Development (R&D) Fair, pada Oktober tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program itu bakal menghimpunkan semua hasil penyelidikan universiti di Selangor termasuk agensi penyelidikan kerajaan dan swasta.

Katanya, penganjuran itu menggalakkan proses pemadanan antara pemain industri dan penyelidik bagi mengkomersialkan semua hasil penyelidikan ke peringkat antarabangsa.

“Pada masa ini juga akan berlangsung acara tahunan bertaraf antarabangsa iaitu Selangor Internation Business Summit 2019 yang turut disertai oleh pelabur dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berhubung pelan tindakan Kerajaan Negeri untuk memartabatkan Daerah Gombak sebagai gugusan pendidikan, di Sidang Dewan Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri memberi fokus kepada menyediakan ekosistem pendidikan yang komprehensif berteraskan kepada keperluan dan kehendak industri dengan melibatkan institusi pendidikan, penyelidikan, pemain industri dan lain-lain agensi kerajaan atau swasta

Justeru katanya, Kerajaan Negeri dalam menyediakan satu pelan tindakan membabitkan semua pihak bagi memastikan gugusan pendidikan menjadi ‘Boston of Malaysia’ selain memberi impak dalam pembangunan terutama bidang pendidikan, pendidikan tinggi, penyelidikan, ekonomi dan sosial.

“Ini menggalakkan penyelidikan dan inovasi di kawasan gugusan pendidikan yang berteraskan kepada lima bidang fokus seperti ‘food and baverages’, ‘aerospace’, ‘machinery and equipment’, ‘electrics and electronics’ dan ‘life sciences’.

“Malah, ia juga memperkukuh pembangunan infrastruktur pendidikan sedia ada yang inklusif dan mampan dalam memacu pembangunan pendidikan Selangor termasuk jaringan jalan raya serta kemudahan awam bagi menghubungkan rakyat dengan fasiliti pendidikan, selain menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

 


Pengarang :