KUALA LUMPUR, 10 Mac — Pemain Selangor Mohd Faiz Mohd Nasir mengasak pemain Kuala Lumpur pada saingan Liga Super Kuala Lumpur menentang Selangor di Stadium Cheras hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

Red Giants raih kemenangan sulung Liga Super

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Selangor bangkit daripada ketinggalan dua gol pada babak pertama sebelum mengatasi Kuala Lumpur 3-2, pada aksi tunggal Liga Super 2019, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam tadi.

Kemenangan sulung itu menyaksikan skuad Gergasi Merah naik dua anak tangga ke kedudukan ke-10 dengan kutipan enam mata selepas enam perlawanan, manakala Kuala Lumpur kekal menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata selepas lima perlawanan.

Pada aksi di Cheras, Kuala Lumpur membuka tirai jaringan pada minit keempat menerusi Muhammad Syafwan Syahlan yang menanduk masuk bola hasil hantaran Zaiful Abdul Hakim.

Pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin menggandakan kedudukan untuk skuad warga kota, pada minit ke-37 selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Selangor, Taylor Regan dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Mohd Farizal Harun.

Tersentak dengan dua gol berkenaan, Selangor kembali memperkemaskan permainan dan berjaya merapatkan jurang, pada minit ke-66 menerusi Sandro Da Silva yang menyempurnakan sepakan penalti setelah beliau dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Mohd Fitri Omar.

Pemain sayap, Mohd Syazwan Zainon menyamakan kedudukan untuk Selangor, pada minit ke-71 menerusi percubaan solo, sebelum kapten, Mohd Amri Yahyah mengesahkan kemenangan untuk skuad Gergasi Merah, pada minit ke-76.

Dalam saingan tunggal Liga Premier, Terengganu FC II (TFC II) dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) berkongsi satu mata setelah seri tanpa jaringan pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Keputusan itu tidak mengubah kedudukan JDT II yang kekal menguasai carta Liga Premier dengan kutipan 13 mata, manakala TFC II naik satu anak tangga ke kedudukan kelima dengan pungutan lapan mata selepas lima perlawanan. -BERNAMA


Pengarang :