SELANGOR

RELA Selangor sedia kembangkan fungsi

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 17 MAC: Menjelang usia 50 tahun penubuhannya, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Selangor bersedia mengembangkan fungsi mereka lebih daripada sekadar menjalankan kerja membantu.

Pengarahnya, Nor Zahidi Abdul Rahman berkata, dengan komitmen dan pengalaman anggota sedia ada, RELA berupaya memikul tanggungjawab lebih besar jika diberi peluang oleh kerajaan.

Katanya, sebelum ini RELA tidak hanya terhad kepada isu setempat, sebaliknya berperanan di peringkat nasional.

“Contohnya ketika masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), RELA membantu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekitar 2005 hingga 2012.

“Malah, semasa hari pembuangan undi PRU-14, lebih 12,000 anggota RELA bertugas bagi membantu kawalan trafik di pusat pembuangan undi seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun RELA Peringkat Selangor 2019, di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Sambutan itu bertemakan “Dari Rakyat, Bersama Rakyat, Untuk Rakyat” yang menyifatkan perkhidmatan RELA sangat dekat dengan masyarakat.

RELA ditubuhkan pada 11 Januari 1972 sebagai Pasukan Home Guard, yang menggembleng tenaga sukarelawan di seluruh negara bagi membantu kerajaan menangani masalah pengganas komunis suatu ketika dahulu.

Kini, pasukan itu berkembang menjadi sebuah jabatan yang menguruskan tenaga sukarelawan seramai 3.1 juta anggota.


Pengarang :